Monday 31 October 2016

TUGASAN SYW502
Nor Azimah Binti Kamil
P-ISM0075/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam


Nilai Amanah Sebagai Pendekatan Pembangunan Insaniah Dalam Masyarakat


Pendahuluan
Dewasa ini, gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat semakin banyak dipaparkan, sama ada melalui internet, surat khabar dan televisyen. Antara isu yang sering kali dikaitkan adalah kes pecah amanah, rasuah, pergaulan bebas, kes pembuangan bayi dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

Gejala-gejala sosial ini terjadi apabila terdapat kepincangan dalam pembangunan insaniah individu. Istilah insaniah merujuk Fadhullah Mohd Jamil (1985) didefinisikan sebagai sifat berperikemanusiaan dan keinsanan dalam diri. Secara tidak langsung, sifat berperikemanusiaan ini dikaitkan dengan sifat-sifat seperti sikap belas kasihan terhadap sesama makhluk, bertimbang rasa, mengenang budi, pemaaf, sabar dalam menghadapi ujian, amanah, hak  dan bertanggungjawab, berani mempertahankan nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan, tidak mementingkan diri, serta tidak angkuh atau bermegah-megah dengan keturunan atau bangsa. 

Nilai amanah merupakan salah satu elemen yang ditekankan dalam pembangunan insaniah. Menurut Mohd. Shukri Hanapi (2002), amanah tidak hanya terkait dengan perkara yang diamanahkan oleh orang lain kepada kita sahaja, malah ia perlu wujud dalam diri sendiri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat seluruhnya, serta Allah SWT. Sebagai khalifah Allah SWT, maka peranan manusia adalah untuk memakmurkan setiap perkara yang terdapat di bumi Allah SWT termasuklah keharmonian hidup bermasyarakat.

Rentetan itu, dalam penulisan ini akan  membincangkan tentang penerapan nilai amanah dalam diri individu untuk membangun insaniah dan membina sahsiah yang baik. Melalui kefahaman tentang kepentingan nilai amanah, ia dapat membina jadi diri individu, mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni seiring dengan agama Islam yang aman dan sejahtera, seterusnya menjamin kemakmuran di muka bumi.

Nilai Amanah Sebagai Pendekatan Pembangunan Insaniah Dalam Masyarakat
Allah SWT telah menyebut beberapa kali dalam al-Qur’an tentang amanah. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam surah al-Anfaal yang bermaksud:


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.
                                                                                     (Surah al-Anfaal, 8:27)

Melalui ayat 27 daripada surah al-Anfaal ini, menjelaskan tentang nilai amanah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan dilaksanakan. Jika setiap individu menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan, maka tidak akan berlaku gejala-gejala sosial seperti rasuah, pecah amanah, pembuangan bayi dan keruntuhan institusi kekeluargaan. Hal ini kerana setiap individu sedar akan setiap perkara yang digalas oleh mereka adalah sebagai amanah daripada Allah SWT yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Selain itu, amanah juga perlu dijaga oleh manusia sebagai pelaku pembangunan dan khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Hal ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikulkan amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
                                                                                (Surah al-Ahzab, 33:72)

Sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi, peranan manusia adalah sebagai pemegang amanah dan bukannya sebagai pemilik mutlak yang boleh melakukan setiap perkara berdasarkan pemikiran dan kehendak. Manusia dibenarkan untuk meneroka alam dan memajukan sumber alam yang ada untuk manfaat kehidupan. Namun, tindakan tersebut hendaklah didasari oleh peraturan-peraturan Allah SWT. Ia termasuklah usaha mengurus ekonomi, politik, sosial, ibadat. Hal ini bertujuan untuk memastikan manusia berjaya melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan (Ahmad Shukri Mohd Nainn dan Rosman Md Yusoff, 2003).

Sehubungan itu, menurut Mohd. Shukri Hanapi (2002), melalui ayat 72 surah al-Ahzaab ini menjelaskan bahawa setiap manusia perlu sedar bahawa setiap perkara yang terdapat di dunia ini merupakan amanah yang disanggupi. Setiap umat manusia tidak boleh terlepas daripada menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya terutamanya dalam menguruskan masyarakat yang perlu dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan.  

Justeru, sebagai khalifah Allah SWT dan pelaku pembangunan di muka bumi, maka manusia hendaklah perlu sedar akan perkara yang diamanahkan. Setiap perkara yang dilakukan hendaklah memberi manfaat dan dilaksanakan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam erti kata lain, semasa menjalankan sesuatu amanah yang dipertanggungjawabkan, hendaklah tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi. Malah manusia perlu menyumbang kepada kemakmuran di bumi Allah SWT.

Kesimpulan
Melalui perbincangan di atas, maka jelaslah bahawa nilai amanah merupakan satu aspek penting dalam pembangunan insaniah yang memberi kesan kepada kemakmuran dan keharmonian hidup bermasyarakat. Kesedaran terhadap amanah yang dipikul hendaklah bermula daripada individu, seterusnya keluarga dan akhirnya dalam sebuah institusi kemasyarakatan. Dengan adanya kefahaman dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh Allah SWT, secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada keruntuhan institusi masyarakat dengan gejala-gejala sosial yang berlaku.


 RUJUKAN

Al-Qur'an
Fadhlullah  Mohd. Jamil (1985). Rasulullah SAW sebagai pembina insaniah. Pulau Pinang. Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.
Mohd. Shukri Hanapi (2002). Prinsip dan masyarakat Islam. Pulau Pinang, Projek Pengurusan Pembangunan Islam. 
Ahmad Shukri Mohd Nainn & Rosman Md Yusoff (2003). Konsep, teori, dimensi, dan isu pembangunan. Skudai,Penerbit UTM. 

Monday 23 May 2016


TUGASAN BLOG SYW501

Nor Azimah Binti Kamil

P-ISM0075/15
CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
(PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)

Tajuk: Ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah dalam Pengurusan Perkhidmatan di Pusat Perubatan Islam Sdn. Bhd (PUSRAWI)


Pendahuluan

Berkesinambungan dengan penulisan sebelumnya, penulisan ini akan memfokuskan kepada pengurusan perkhidmatan di institusi perubatan yang menyediakan rawatan secara Islam, iaitu Pusat Rawatan Islam Sdn Bhd (PUSRAWI). PUSRAWI merupakan antara institusi perubatan yang terdapat di Malaysia yang mengamalkan cara dan nilai Islam dalam perkhidmatannya. 


Pengurusan Perkhidmatan di Pusat Rawatan Islam Sdn Bhd (PUSRAWI)

Terdapat tiga jenis institusi pembangunan berteraskan Islam bergantung kepada kategori kegiatan pengurusan, iaitu ijtima'iyy, siyasi, dan tijari. Institusi ijtima'iyy merupakan sebuah institusi yang berkonsepkan kebajikan untuk menunaikan tanggungjawab kepada kepada umat Islam. Dari aspek pengurusan pembangunan Islam, tanggungjawab sosial ini dirujuk sebagai fardu kifayah yang mana menjadi kewajipan ke atas sebahagian masyarakat untuk melaksanakannya (Fadzila Azni Ahmad, 2013). 

PUSRAWI boleh dikategorikan sebagai institusi ijtima'iyy kerana tujuannya menyediakan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat. Secara umumnya, misi penubuhan pusat perubatan ini adalah untuk menjadi sebuah sebuah hospital swasta yang memenuhi tuntutan fardu kifayah menerusi perkhidmatan cemerlang dan profesional, teknologi terkini serta tenaga kerja yang berdedikasi bagi memenuhi kehendak pelanggan (PUSRAWI, 2013). Melalui misi ini, jelas sekali penubuhan PUSRAWI adalah sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah, dalam masa yang sama untuk menjaga kebajikan masyarakat. 

Walaupun begitu, dalam melaksanakan fardu kifayah, sesebuah perkhidmatan tidak boleh dipisahkan dengan fardu ain sebagai kerangka pembangunan berteraskan Islam. Sehubungan itu, menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), sesebuah pembangunan tidak boleh dikatakan sebagai berteraskan Islam sekiranya tidak ditunjangi dengan ilmu fardu ain dilaksanakan dalam kerangka fardu ain. 

Pembangunan berteraskan Islam menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) hendaklah bertunjangkan kepada tauhid (aqidah), dilaksanakan mengikut ilmu fekah (syariat), dan tasawwuf (akhlak). Oleh yang demikian, di samping perlaksanaan tuntutan fardu kifayah,  pengurusan perkhidmatan di PUSRAWI juga hendaklah bertunjangkan kepada ilmu fardu ain sebagai kerangka sebuah pembangunan yang berteraskan Islam.

Dalam membincangkan mengenai ilmu fardu ain, tauhid merupakan perkara utama yang menjadi asas perbincangan. Sehubungan itu, Allah SWT tidak menciptakan segala sesuatu dengan sia-sia. Malah, terdapat hikmah di sebalik kejadian sesuatu tersebut. Dalam konsep perspektif perkhidmatan di PUSRAWI sebagai sebuah institusi perubatan berteraskan Islam, di samping untuk menjaga kebajikan masyarakat, perkara utama yang perlu ditekankan juga adalah rasa kehambaan kepada Allah SWT. Dengan rasa kehambaan inilah akan mewujudkan keikhlasan untuk menjalankan amanah sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Sebagai firman-Nya yang bermaksud: 

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada, Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata), "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". 
                                                                                                                                                                   (Surah al-Baqarah, 2:30)

Rumusan

Kesimpulannya, untuk memantapkan pengurusan perkhidmatan perubatan yang ditawarkan di PUSRAWI, institusi tersebut juga hendaklah menerapkan ilmu fardu ain yang meliputi tauhid, fekah, serta tasawwuf sebagai kerangka dalam pengurusan perkhidmatannya. Dengan usaha ini, matlamat untuk mencapai mardhatillah (keredhaan Allah SWT) tercapai secara tidak langsung mendapat al-falah, iaitu kejayaan di dunia dan akhirat.



Bibliografi

Al-Quran

Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur. Zebra Editions Sdn. Bhd. 

PUSRAWI (2013). Hospital pusat rawatan Islam Sdn. Bhd. Diakses daripada http://www.pusrawi.com.my pada 22 Mei 2016.

Monday 18 April 2016


TUGASAN BLOG SYW501

Nor Azimah Binti Kamil
P-ISM0075/15

CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN

(PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)


Pengurusan Perkhidmatan di Institusi Pembangunan Berteraskan Islam Berdasarkan Falsafah Pembangunan Islam



Dewasa ini, pelbagai institusi pembangunan berteraskan Islam telah diwujudkan tidak kira dari institusi yang menyediakan perkhidmatan pendidikan, perbankan, kesihatan, dan lain-lain. Sebagai contoh, Bank Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Pusat Rawatan Islam Sdn. Bhd. (PUSRAWI). Institusi-institusi ini dikatakan sebagai institusi pembangunan Islam kerana menjalani semua pengurusan dalam perkhidmatan dan aktiviti yang disediakan secara Islam. Namun demikian, kebanyakan institusi di Malaysia termasuklah institusi pembangunan Islam kebanyakannya mengamalkan kaedah pengurusan perkhidmatan secara konvensional yang diperkenalkan oleh Barat. 

Menurut Fadzila Azni Ahmad (2013), dasar pengurusan dalam institusi pembangunan Islam adalah sangat berbeza dengan dasar pengurusan konvensional yang diasaskan oleh golongan kapitalis sebagaimana yang dilakukan oleh Barat. Perbezaan yang dimaksudkan termasuklah dari aspek sumber, kategori tujuan perlaksanaan, ciri-ciri pelaku, serta matlamat sebuah pengurusan institusi. Seharusnya, institusi pembangunan berteraskan Islam hendaklah mengambil kira tentang dasar dan matlamat penubuhan sebelum menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat sebagai pelanggan perkhidmatan. Farah Farhana Johari (2015) menjelaskan bahawa dasar dan matlamat utama seharusnya tidak bersandarkan kepada falsafah pembangunan lazim. Ianya bagi memastikan sesebuah institusi Islam tersebut dibangunkan dengan bertunjangkan kepada falsafah pembangunan Islam.

Falsafah dalam konteks pembangunan bermaksud pendorong, cara, hala tuju sesebuah pembangunan itu dilakukan. Falsafah pembangunan Islam pula didirikan berdasarkan asas iaitu tauhid, rububiah (ketuhanan), khalifah, dan al-falah atau kejayaan (JAKIM, 2016). Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), falsafah pembangunan Islam merangkumi tujuh prinsip asas iaitu tasawur Islam sebagai acuan pembangunan, manusia sebagai pelaku pembangunan, alam roh, alam dunia, dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan, ilmu fardhu ain sebagai kerangka pembangunan, ibadah sebagai perkaedahan pembangunan, sumber alam sebagai peralatan pembangunan, dan mardhatillah (keredhaan Allah) sebagai matlamat akhir sesebuah sesebuah pembangunan Islam. Dengan menerapkan falsafah pembangunan Islam ini di dalam pengurusan perkhidmatan institusi akan memastikan perkhidmatan yang disediakan tidak bercanggah dengan syariat dan menepati aturan yang diperintahkan dalam Islam. 

Dalam menguruskan perkhidmatan, pihak pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam juga perlu memainkan peranan sebagai model kepada pekerja-pekerja dengan menunjukkan persembahan yang baik sebagai ikutan kepada pekerja-pekerja supaya turut memberikan persembahan yang baik dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat (Ilhaami Abdul Ghani Azmi, 2002). Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Saff, ayat 3 hingga 4:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. 
                                                                             (Surah as-Saff  61:3-4)         
               
Melalui ayat ini, jelaslah bahawa Islam menekankan supaya pihak pengurusan dalam sesebuah institusi pembangunan Islam perlu memberi tauladan yang baik kepada pekerja supaya perkhidmatan yang diuruskan dapat disediakan dengan berkualiti kepada pelanggan. 

Selain itu, perkara penting dalam pengurusan perkhidmatan adalah melakukan syura. Menurut Hasan al-Banna Mohamed, Abdul Mumin Abdul Ghani, & Siti Arni Basir (2013), permaufakatan yang diutarakan oleh Barat hanya memberi pencapaian secara luaran sahaja. Hal ini bermakna konsep tersebut tidak mencapai matlamat akhir iaitu mardhatillah dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Oleh yang demikian, Islam sangat menekankan pengurusan dengan syura untuk menyampaikan sesuatu perkhidmatan terutamanya sebagai sebuah institusi pembangunan berteraskan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.  

                                                                          (Surah ali-Imraan 3:159)

Firman Allah SWT ini menggambarkan satu suruhan untuk manusia melakukan syura atau bermesyuarat sebelum melakukan sesuatu urusan dan kemudiaannya bertawakkal kepada Allah SWT supaya matlamat yang ditetapkan dapat dicapai.      

Dengan mengamalkan dua perkara ini dalam pengurusan perkhidmatan institusi, ianya secara tidak langsung melaksanakan falsafah pembangunan Islam melalui pengurusan perkhidmatan. Kesimpulannya, setiap aktiviti yang dijalankan dalam sesebuah institusi pembangunan Islam hendaklah didasari oleh falsafah pembangunan Islam bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan berada di landasan syariat Islam.     


Bibliografi

Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep pengurusan institusi pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Farah Farhana Johari (2015). Institusi islam di Malaysia: Visi dan misi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Hassan Al-Banna Mohamed, Abdul Mumin Abdul Ghani, & Siti Arni Basir (2013), Islamic management system asssures employee's satisfaction: reality and future challenge.Global Journal Al Thaqafah. 3 (1). Committee On Publication Ethic (COPE). 

Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2002). Pengurusan kualiti menyeluruh (TQM): Satu perbandingan antara prinsip konvensional dan Islam. Jurnal Syariah. 10 (2). Universiti Malaya.

JAKIM (2016). Pembangunan dalam Islam. Diakses daripada http://www.islam.gov.my/en/pembangunan-islam-di-malaysia

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur. Zebra Editions Sdn. Bhd. 

Monday 14 March 2016

TUGASAN BLOG SYW501


Nor Azimah Binti Kamil

P-ISM0075/15
CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
(PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)


Asas Pengurusan Perkhidmatan Di Institusi Berteraskan Islam


Sumber: www.caibuzz.com

Bagaimanakah pengurusan perkhidmatan yang perlu diamalkan di institusi berteraskan Islam? Menurut Prince Jide Adetule (2011), istilah pengurusan tidak mempunyai sebarang definisi yang boleh diterima secara universal. Namun demikian, terdapat beberapa definisi yang biasa digunakan. Pengurusan ditakrifkan sebagai  satu seni untuk menetapkan sesuatu perkara melalui manusia dan dengan manusia. Selain itu, terdapat juga takrifan pengurusan sebagai satu proses merancang, mengurus, mengarah, dan mengawal ahli-ahli sesebuah organisasi dengan menggunakan segala sumber lain untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi tersebut. Jeffrey A. Miles (2012) pula mentakrifkan pengurusan sebagai satu proses untuk mencapai misi, strategi, matlamat, dan objektif sesebuah organisasi melalui manusia (sumber manusia), wang (sumber kewangan), benda (sumber fizikal), dan data (sumber maklumat). Manusia yang di dalam sesebuah organisasi adalah merujuk kepada pekerja atau individu yang bekerja sepenuh masa, atau dengan perjanjian kontrak, atau sebarang hubungan dengan organisasi tersebut. 

Pengurusan perkhidmatan pula merujuk kepada  tadbir urus sesuatu proses penyediaan keperluan sama ada untuk kepentingan individu, masyarakat, negara, mahupun agama. Maka, dengan ini bolehlah dikatakan bahawa pengurusan perkhidmatan institusi Islam adalah mengenai proses tadbir urus dalam menyediakan keperluan yang dilakukan oleh institusi berteraskan Islam. Institusi berteraskan Islam termasuklah institusi perbankan, institusi pendidikan, institusi perhotelan, dan sebagainya yang bertunjangkan kepada prinsip Islam dalam pentadbirannya. Dalam menyediakan perkhidmatan di sesebuah institusi berteraskan Islam, pengurusannya hendaklah didasari oleh konsep Tauhid dan bermatlamatkan al-falah (kejayaan) untuk mencapai mardhatillah iaitu keredhaan Allah SWT.  

Berbincang mengenai konsep Tauhid, hal ini bermakna Allah SWT sebagai satu-satunya Pencipta sekalian makhluk dan hanya Dialah Yang Maha Berkuasa ke atas setiap makhluk ciptaan-Nya. Seperti mana firman-Nya, Allah SWT telah menjadikan manusia sebagai hamba dan khalifah untuk mengurus bumi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam ayat al Quran, surah al Baqarah, ayat 30: 

A030
 Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada, Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata), "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". 
                                                                                                                                                                                         (Surah al-Baqarah, 2:30)

Melalui ayat ini, jelas sekali menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menciptakan segala sesuatu dengan sia-sia. Malah, ianya mempunyai sebab-sebab di sebalik kejadian sesuatu tersebut. Oleh yang demikian, sebagai makhluk yang telah berjanji kepada Allah SWT untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah, maka setiap Muslim yang berperanan dalam bidang pengurusan hendaklah mengamalkan beberapa prinsip pengurusan perkhidmatan yang selari dengan kehendak Islam. 

Menurut Hasan al-Banna Mohamed, Abdul Mumin Abdul Ghani, & Siti Arni Basir (2013), terdapat beberapa prinsip pengurusan Islam yang boleh menjamin pengurusan perkhidmatan yang berkualiti. Antara prinsip-prinsip yang boleh diamalkan adalah seperti sifat insaniah iaitu mempunyai sifat kemanusiaan yang sejati, sifat ihsan yang berlandaskan konsep tauhid, melakukan pengurusan dengan syura iaitu membuat keputusan secara kolaboratif, serta mengamalkan budaya istiqamah dan komitmen yang tinggi dalam sesuatu tindakan. 


Justeru, dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini, ianya dapat dijadikan sebagai garis panduan dalam melakukan pengurusan perkhidmatan di institusi berteraskan Islam. Seterusnya perkara ini mendorong untuk mencapai matlamat sesebuah institusi sekaligus mencapai matlamat akhir iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Seiring dengan penciptaan manusia sebagai sebaik-baik kejadian, maka manusia hendaklah menguruskan perkhidmatan dengan sebaik mungkin berlandaskan al Quran dan as sunnah Rasulullah SAW. Ianya bertepatan dengan tugas sebagai khalifah untuk mengurus alam. 

Kesimpulannya, dalam melakukan pengurusan pentadbiran bagi institusi  Islam, kita tidak boleh lari daripada acuan Islam itu sendiri. Setiap tindakan yang dilakukan dalam pengurusan perkhidmatan hendaklah berlandaskan syariat dan tidak sekali-kali melakukan perkara yang mungkar. Dengan yang demikian, keredhaan Allah SWT sentiasa diperolehi. 


Bibliografi: 

Adetule, P.J (2011), The Handbook on Management. Bloomington. AuthorHouse. 

Miles, J.A (2012), Management and Organization Theory.San Francisco. Jossey-Bass. 

Hassan Al-Banna Mohamed, Abdul Mumin Abdul Ghani, & Siti Arni Basir (2013), Islamic Management System Assures Employee's Satisfaction: Reality and Future Challenge. Global Journal Al Thaqafah. 3 (1). Committee On Publication Ethic (COPE).