Monday 31 October 2016

TUGASAN SYW502
Nor Azimah Binti Kamil
P-ISM0075/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam


Nilai Amanah Sebagai Pendekatan Pembangunan Insaniah Dalam Masyarakat


Pendahuluan
Dewasa ini, gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat semakin banyak dipaparkan, sama ada melalui internet, surat khabar dan televisyen. Antara isu yang sering kali dikaitkan adalah kes pecah amanah, rasuah, pergaulan bebas, kes pembuangan bayi dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

Gejala-gejala sosial ini terjadi apabila terdapat kepincangan dalam pembangunan insaniah individu. Istilah insaniah merujuk Fadhullah Mohd Jamil (1985) didefinisikan sebagai sifat berperikemanusiaan dan keinsanan dalam diri. Secara tidak langsung, sifat berperikemanusiaan ini dikaitkan dengan sifat-sifat seperti sikap belas kasihan terhadap sesama makhluk, bertimbang rasa, mengenang budi, pemaaf, sabar dalam menghadapi ujian, amanah, hak  dan bertanggungjawab, berani mempertahankan nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan, tidak mementingkan diri, serta tidak angkuh atau bermegah-megah dengan keturunan atau bangsa. 

Nilai amanah merupakan salah satu elemen yang ditekankan dalam pembangunan insaniah. Menurut Mohd. Shukri Hanapi (2002), amanah tidak hanya terkait dengan perkara yang diamanahkan oleh orang lain kepada kita sahaja, malah ia perlu wujud dalam diri sendiri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat seluruhnya, serta Allah SWT. Sebagai khalifah Allah SWT, maka peranan manusia adalah untuk memakmurkan setiap perkara yang terdapat di bumi Allah SWT termasuklah keharmonian hidup bermasyarakat.

Rentetan itu, dalam penulisan ini akan  membincangkan tentang penerapan nilai amanah dalam diri individu untuk membangun insaniah dan membina sahsiah yang baik. Melalui kefahaman tentang kepentingan nilai amanah, ia dapat membina jadi diri individu, mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni seiring dengan agama Islam yang aman dan sejahtera, seterusnya menjamin kemakmuran di muka bumi.

Nilai Amanah Sebagai Pendekatan Pembangunan Insaniah Dalam Masyarakat
Allah SWT telah menyebut beberapa kali dalam al-Qur’an tentang amanah. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam surah al-Anfaal yang bermaksud:


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.
                                                                                     (Surah al-Anfaal, 8:27)

Melalui ayat 27 daripada surah al-Anfaal ini, menjelaskan tentang nilai amanah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan dilaksanakan. Jika setiap individu menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan, maka tidak akan berlaku gejala-gejala sosial seperti rasuah, pecah amanah, pembuangan bayi dan keruntuhan institusi kekeluargaan. Hal ini kerana setiap individu sedar akan setiap perkara yang digalas oleh mereka adalah sebagai amanah daripada Allah SWT yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Selain itu, amanah juga perlu dijaga oleh manusia sebagai pelaku pembangunan dan khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Hal ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikulkan amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
                                                                                (Surah al-Ahzab, 33:72)

Sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi, peranan manusia adalah sebagai pemegang amanah dan bukannya sebagai pemilik mutlak yang boleh melakukan setiap perkara berdasarkan pemikiran dan kehendak. Manusia dibenarkan untuk meneroka alam dan memajukan sumber alam yang ada untuk manfaat kehidupan. Namun, tindakan tersebut hendaklah didasari oleh peraturan-peraturan Allah SWT. Ia termasuklah usaha mengurus ekonomi, politik, sosial, ibadat. Hal ini bertujuan untuk memastikan manusia berjaya melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan (Ahmad Shukri Mohd Nainn dan Rosman Md Yusoff, 2003).

Sehubungan itu, menurut Mohd. Shukri Hanapi (2002), melalui ayat 72 surah al-Ahzaab ini menjelaskan bahawa setiap manusia perlu sedar bahawa setiap perkara yang terdapat di dunia ini merupakan amanah yang disanggupi. Setiap umat manusia tidak boleh terlepas daripada menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya terutamanya dalam menguruskan masyarakat yang perlu dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan.  

Justeru, sebagai khalifah Allah SWT dan pelaku pembangunan di muka bumi, maka manusia hendaklah perlu sedar akan perkara yang diamanahkan. Setiap perkara yang dilakukan hendaklah memberi manfaat dan dilaksanakan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam erti kata lain, semasa menjalankan sesuatu amanah yang dipertanggungjawabkan, hendaklah tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi. Malah manusia perlu menyumbang kepada kemakmuran di bumi Allah SWT.

Kesimpulan
Melalui perbincangan di atas, maka jelaslah bahawa nilai amanah merupakan satu aspek penting dalam pembangunan insaniah yang memberi kesan kepada kemakmuran dan keharmonian hidup bermasyarakat. Kesedaran terhadap amanah yang dipikul hendaklah bermula daripada individu, seterusnya keluarga dan akhirnya dalam sebuah institusi kemasyarakatan. Dengan adanya kefahaman dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh Allah SWT, secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada keruntuhan institusi masyarakat dengan gejala-gejala sosial yang berlaku.


 RUJUKAN

Al-Qur'an
Fadhlullah  Mohd. Jamil (1985). Rasulullah SAW sebagai pembina insaniah. Pulau Pinang. Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.
Mohd. Shukri Hanapi (2002). Prinsip dan masyarakat Islam. Pulau Pinang, Projek Pengurusan Pembangunan Islam. 
Ahmad Shukri Mohd Nainn & Rosman Md Yusoff (2003). Konsep, teori, dimensi, dan isu pembangunan. Skudai,Penerbit UTM.