TUGASAN SYW502
Nor Azimah Binti Kamil
P-ISM0075/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
Pengurusan Pembangunan Islam
Nilai Amanah Sebagai Pendekatan Pembangunan Insaniah Dalam Masyarakat
Pendahuluan
Dewasa ini, gejala sosial yang berlaku dalam kalangan
masyarakat semakin banyak dipaparkan, sama ada melalui internet, surat khabar
dan televisyen. Antara isu yang sering kali dikaitkan adalah kes pecah amanah,
rasuah, pergaulan bebas, kes pembuangan bayi dan keruntuhan institusi
kekeluargaan.
Gejala-gejala sosial ini terjadi apabila terdapat
kepincangan dalam pembangunan insaniah individu. Istilah insaniah merujuk Fadhullah
Mohd Jamil (1985) didefinisikan sebagai sifat berperikemanusiaan dan keinsanan
dalam diri. Secara tidak langsung, sifat berperikemanusiaan ini dikaitkan
dengan sifat-sifat seperti sikap belas kasihan terhadap sesama makhluk,
bertimbang rasa, mengenang budi, pemaaf, sabar dalam menghadapi ujian, amanah,
hak dan bertanggungjawab, berani mempertahankan nilai-nilai mulia yang
menjadi pegangan, tidak mementingkan diri, serta tidak angkuh atau
bermegah-megah dengan keturunan atau bangsa.
Nilai amanah merupakan salah satu elemen yang ditekankan
dalam pembangunan insaniah. Menurut Mohd. Shukri Hanapi (2002), amanah tidak
hanya terkait dengan perkara yang diamanahkan oleh orang lain kepada kita
sahaja, malah ia perlu wujud dalam diri sendiri, keluarga, jiran tetangga,
masyarakat seluruhnya, serta Allah SWT. Sebagai khalifah Allah SWT, maka
peranan manusia adalah untuk memakmurkan setiap perkara yang terdapat di bumi
Allah SWT termasuklah keharmonian hidup bermasyarakat.
Rentetan itu, dalam penulisan ini akan membincangkan tentang penerapan nilai amanah
dalam diri individu untuk membangun insaniah dan membina sahsiah yang baik. Melalui
kefahaman tentang kepentingan nilai amanah, ia dapat membina jadi diri individu,
mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni seiring dengan agama Islam yang aman
dan sejahtera, seterusnya menjamin kemakmuran di muka bumi.
Nilai Amanah Sebagai Pendekatan Pembangunan Insaniah Dalam
Masyarakat
Allah SWT telah menyebut beberapa kali dalam al-Qur’an
tentang amanah. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam surah al-Anfaal yang
bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.
(Surah al-Anfaal, 8:27)
Melalui ayat 27 daripada surah al-Anfaal ini, menjelaskan
tentang nilai amanah dalam kehidupan manusia yang perlu dijaga dan
dilaksanakan. Jika setiap individu menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan,
maka tidak akan berlaku gejala-gejala sosial seperti rasuah, pecah amanah,
pembuangan bayi dan keruntuhan institusi kekeluargaan. Hal ini kerana setiap
individu sedar akan setiap perkara yang digalas oleh mereka adalah sebagai
amanah daripada Allah SWT yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Selain itu, amanah juga perlu dijaga oleh manusia sebagai
pelaku pembangunan dan khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Hal ini seperti
mana firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikulkan amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
(Surah al-Ahzab, 33:72)
Sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi, peranan manusia
adalah sebagai pemegang amanah dan bukannya sebagai pemilik mutlak yang boleh
melakukan setiap perkara berdasarkan pemikiran dan kehendak. Manusia dibenarkan
untuk meneroka alam dan memajukan sumber alam yang ada untuk manfaat kehidupan.
Namun, tindakan tersebut hendaklah didasari oleh peraturan-peraturan Allah SWT.
Ia termasuklah usaha mengurus ekonomi, politik, sosial, ibadat. Hal ini
bertujuan untuk memastikan manusia berjaya melaksanakan tanggungjawab yang telah
diamanahkan (Ahmad Shukri Mohd Nainn dan Rosman Md Yusoff, 2003).
Sehubungan itu, menurut Mohd. Shukri Hanapi (2002), melalui
ayat 72 surah al-Ahzaab ini menjelaskan bahawa setiap manusia perlu sedar
bahawa setiap perkara yang terdapat di dunia ini merupakan amanah yang
disanggupi. Setiap umat manusia tidak boleh terlepas daripada menunaikan amanah
yang dipertanggungjawabkan ke atasnya terutamanya dalam menguruskan masyarakat
yang perlu dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang
merosakkan.
Justeru, sebagai khalifah Allah SWT dan pelaku pembangunan
di muka bumi, maka manusia hendaklah perlu sedar akan perkara yang diamanahkan.
Setiap perkara yang dilakukan hendaklah memberi manfaat dan dilaksanakan
mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam erti
kata lain, semasa menjalankan sesuatu amanah yang dipertanggungjawabkan,
hendaklah tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi. Malah manusia perlu
menyumbang kepada kemakmuran di bumi Allah SWT.
Kesimpulan
Melalui perbincangan di atas, maka jelaslah bahawa nilai
amanah merupakan satu aspek penting dalam pembangunan insaniah yang memberi kesan
kepada kemakmuran dan keharmonian hidup bermasyarakat. Kesedaran terhadap
amanah yang dipikul hendaklah bermula daripada individu, seterusnya keluarga
dan akhirnya dalam sebuah institusi kemasyarakatan. Dengan adanya kefahaman dan
tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh Allah SWT, secara tidak langsung
dapat mengelakkan daripada keruntuhan institusi masyarakat dengan gejala-gejala
sosial yang berlaku.
RUJUKAN
Al-Qur'an
Fadhlullah
Mohd. Jamil (1985). Rasulullah SAW
sebagai pembina insaniah. Pulau Pinang.
Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.
Mohd. Shukri Hanapi (2002). Prinsip dan masyarakat
Islam. Pulau Pinang, Projek Pengurusan Pembangunan Islam.
Ahmad Shukri Mohd Nainn & Rosman Md Yusoff (2003). Konsep,
teori, dimensi, dan isu pembangunan. Skudai,Penerbit UTM.
No comments:
Post a Comment